16 peserta SSEAYP 49 kembali ke tanah air





Oleh : Khartini Hamir / Foto : Azmah Haji Ahad





BERAKAS, Selasa, 17 Februari. - Seramai 16 orang belia dan seorang Ketua Delegasi (National Leader) Negara Brunei Darussalam (NBD) kembali ke tanah air selepas menyertai Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun Ke-49 (SSEAYP 49) bermula pada 15 Januari 2026 yang lalu di Tokyo, Jepun.


Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi menyambut ketibaan kontinjen negara ialah Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim, serta pegawai-pegawai kanan Jabatan Belia dan Sukan.


Edisi kali ini, Delegasi NBD terdiri daripada Penolong Penyelia Pusat Belia, Awang Ibrahim bin Haji Sabli, selaku Ketua Delegasi (National Leader), bersama lapan orang lelaki dan lapan orang perempuan berumur antara 18 hingga 30 tahun, diketuai oleh seorang Ketua Belia, Awang Muhammad Irham bin Awang Roslan dan seorang Penolong Ketua Belia, Dayang Berlyanna Indah Yordhana binti Jefry.


Program yang berlangsung selama 35 hari bermula dari Tokyo, Jepun tersebut belayar menggunakan kapal Nippon Maru menuju ke Republik Singapura dan berakhir di Thailand.


Peserta program telah mengikuti pelbagai aktiviti yang disusun oleh negara-negara disinggahi seperti perbincangan tajuk-tajuk utama yang diberikan, pertukaran budaya, sesi aktiviti selepas program, kunjung hormat, lawatan sambil belajar, interaksi bersama belia tempatan dan sebagainya.


Antara yang menarik ialah program 'homestay' di mana para peserta tinggal bersama keluarga angkat dan mengetahui secara lebih dekat akan gaya hidup serta budaya termasuk makanan yang popular di negara-negara tersebut.


Diharap para peserta beroleh ilmu, kemahiran dan pengalaman yang berguna serta boleh menjadi inspirasi kepada para belia yang lain di samping dapat mempromosikan dan mengangkat nama baik NBD selaku Young Ambassador di dalam program tersebut.


Semua peserta program kali ini akan dipantau bagi melaksanakan kesinambungan program yang disertai sepanjang penyertaan mereka SSEAYP 49 sebagai sumbangan mereka kepada pembangunan belia di negara ini.


Close